Mengurangkan Risiko Strok Berulang.
Mengamalkan gaya hidup sihat. Bagi mereka yang telah mengalami strok atau serangan iskemia sementara (TIA), sentiasa ada kebimbangan akan strok berlaku lagi. Walaupun risikonya lebih besar dari seseorang yang tidak pernah mengalami strok, anda boleh mengubahsuai gaya hidup anda untuk mengurangkan risiko strok berulang.
( Lihat Apa yang Boleh Anda Lakukan Untuk Mengurangkan Risiko Strok )

Bagaimana ubat-ubatan boleh membantu.
Jika anda pernah mengalami strok, besar kemungkinan anda ada mengambil ubat-ubatan yang ditentukan oleh doktor anda untuk mengurangkan risiko strok berlaku lagi.
Ubat-ubat yang ditentukan selalunya ubat yang :
* Merendahkan tekanan darah
* Mengurangkan risiko gumpalan darah
* mengurangkan tahap kolesterol ’tidak baik’
Adalah penting untuk anda mengambil ubat seperti yang ditentukan oleh doktor. Sesetengah orang berhenti mengambil ubat sebaik sahaja mereka merasa sihat – tanpa mengetahui yang mereka meletakkan diri sendiri dalam bahaya.
Anda patut meminta doktor anda menerangkan apa dia ubat-ubat itu dan kenapa anda patut mengambilnya.
Juga tanya doktor anda jika terdapat apa-apa kesan sampingan ubat-ubat itu dan jika anda mengalami apa-apa kesan sampingan yang tidak baik seperti pening atau mabuk-mabuk, anda mestilah memberitahu doktor anda.
Jenis-jenis ubatan
Ubat-ubat tekanan darah
Tekanan darah tinggi adalah sebab paling utama strok. Terdapat beberapa jenis ubat untuk merawat masalah ini. Beberapa jenis ubatan yang paling biasa digunakan adalah:
- Diuretik – membuang lebihan bendalir dan garam (sodium) dari tubuh
- Penghalang-beta – mengurangkan kadar degupan jantung dan pengeluaran darah dari jantung.
- Penghalang saraf simpatetik – saraf simpatetik menjalar dari otak ke semua bahagian tubuh, termasuk arteri. Ia boleh mengecutkan arteri, lalu meninggikan tekanan darah. Kelas ubatan ini mengurangkan tekanan darah dengan menghalang saraf-saraf ini dari mengecutkan saluran darah.
- Pengembang saraf – ini boleh menyebabkan otot pada dinding salurah darah untuk berehat, membolehkan saluran mengembang.
- Penghalang enzim pengubah-angiotensin (ACE) – ini mengganggu pengeluaran angiotensin tubuh, sejenis bahan kimia yang menyebabkan arteri mengecut.
- Penghalang penerima angiotensin II – menghalang kesan angiotensin
- Antagonis kalsium – boleh mengurangkan kadar degupan jantung dan merehatkan saluran darah.
Ubat-ubatan anti-platelet dan aspirin untuk mengelakkan darah beku
Jika anda telah mengalami strok iskemia (yang disebabkan oleh sekatan saluran darah oleh darah beku), kemungkinan besar doktor anda telah menentukan sejenis ubat untuk menjadikan darah anda kurang pekat dan kurang cenderung membentuk gumpalan. Ubat-ubat ini termasuk asperin, tiklopidin dan klopidogrel, yang dipanggil ubat-ubat anti-platelet. Mereka berfungsi dengan mengelakkan sel-sel darah yang dikenali sebagai platelet dari menggumpal untuk membentuk darah beku – yang boleh mengurangkan atau menghentikan sama sekali pengaliran darah ke bahagian otak dan menyebabkan strok.
Namun begitu, ubat-ubat anti-platelet tidak sesuai bagi mereka yang stroknya disebabkan oleh pendarahan akibat saluran darah yang pecah.
Ubat bagi fibrilasi atrium
(degupan jantung tidak teratur)
Fibrilasi atrium adalah degupan jantung yang tidak teratur yang boleh menyebabkan gumpalan darah mudah terbentuk di dalam jantung. Darah beku ini mungkin tertanggal dan bergerak ke arteri di dalam otak dan mengakibatkan strok. Untuk mengelakkan ini dari berlaku, doktor mungkin menetapkan sejenis ubat anti-penggumpal, biasanya wafarin. Ubat ini menghalang protein-protein penggumpal, mencairkan darah, mengurangkan kemungkinan pembentukan gumpalan.
Ubat-ubat merendahkan kolesterol
Tahap kolesterol ‘tidak baik’ dalam darah yang tinggi meninggikan risiko strok. Jika perubahan diet seperti mengurangkan memakan daging dan makanan berlemak tinggi tidak mengurangkan tahap kolesterol di dalam darah, doktor anda mungkin akan menentukan ubat merendahkan kolesterol yang direka untuk mengurangkan tahap lemak (lipid) di dalam darah, termasuk kolesterol dan trigliserida.
Ubat-ubat untuk Diabetes Melitus
Diabetes (Penyakit kencing manis) menyumbang kepada pembentukan plak di dalam dinding arteri yang lama-kelamaan menyekat aliran darah. Jika tidak cukup darah sampai ke sel-sel otak, strok akan berlaku.
Jika anda menghidap kencing manis, adalah penting untuk memeriksa kandungan gula dalam darah anda secara tetap supaya doktor anda boleh menentukan ubat-ubat yang bersesuaian.
Pemeriksaan Kesihatan yang Tetap/ Teratur
Jika anda pernah mengalami strok, adalah penting untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara teratur supaya tekanan darah, tahap kolesterol dan berat badan anda dapat diawasi. Semua jenis ubat-ubatan di atas hanya boleh didapati dengan surat ubat doktor. Anda patut sentiasa mendapatkan penjelasan sepenuhnya dari doktor anda berkenaan manfaat dan kesan sampingan yang mungkin timbul dari ubat-ubat yang ditentukan bagi anda.
Hyperrangkai Berkenaan
Pemulihan Strok
Adalah teramat penting yang mangsa strok dirujuk kepada ahli fisioterapi secepat mungkin. Lebih cepat fisioterapi dimulakan, lebih cepat otak mempelajari semula pergerakan-pergerakan biasa, dengan itu menyusun kembali laluan-laluan deria rasa dan pergerakan ke otak. Selanjutnya » Fisioterapi Terapi Cara Kerja Terapi Pertuturan Kaunseling |